Selepas diperkenalkan buat kali pertama kepada dunia Ogos lalu di Thailand, Royal Enfield Hunter 350 kini memasuki pula pasaran Indonesia. Model ini menarik untuk dilihat kerana apabila memasuki pasaran, ia akan menjadi model paling murah di dalam barisan model semasa Royal Enfield.
Di Indonesia, Hunter 350 dijual pada harga bermula 106.4 juta rupiah (RM30,016), iaitu 12.5 juta rupiah (RM3,526) lebih murah berbanding model Classic 350 yang berharga 118.9 juta rupiah (RM33,542). Hunter 350, Classic 350 dan Meteor 350 sebenarnya berkongsi asas yang sama.
Melihat kepada harga di negara jiran ini, kita boleh mengambilnya sebagai petunjuk untuk harga Hunter 350 apabila masuk ke pasaran Malaysia nanti. Di negara kita, Classic 350 dijual pada harga bermula RM23,500, dan melihat kepada pengurangan harga yang dibuat bagi Hunter 350, kita boleh menjangka Hunter 350 tiba dengan harga di bawah RM20k.
Hunter 350 digerakkan oleh enjin satu silinder 349 cc dengan sistem suntikan bahan api elektronik serta penyejukan udara, digabungkan bersama transmisi lima kelajuan untuk menghasilkan 20 hp pada 6,100 rpm dan 27 Nm tork pada 4,000 rpm. Walaupun ia adalah enjin yang sama dengan Classic 350 dan Meteor 350, pemetaannya telah diubah.
Dibina sebagai sebuah motosikal yang serba mudah bagi pelbagai golongan, Hunter 350 turut datang dengan fork teleskopik di hadapan, dua penyerap hentak di belakang, sistem ABS two-channel (untuk varian Metro), tinggi tempat duduk 800 mm, tangki bahan api 13 liter serta pengecas USB. Jenis rim, brek serta panel meter pula bergantung kepada varian.
GALERI: Royal Enfield Hunter 350